Skip to main content

Sejarah SKMR







Pembinaan Sekolah Kebangsaan Meru Raya sebenarnya telah bermula pada penghujung tahun 2012 tetapi hanya berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun 2017. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini gagal disiapkan oleh kontraktor yang pertama sehingga menyebabkan kontrak kerja ditamatkan sebelum disambung kembali pembinaannya oleh kontraktor yang baru. Akhirnya, pada penghunung tahun 2017, sekolah ini berjaya disiapkan.


Mesyuarat pertama prapembukaan SK Meru Raya telah diadakan pada 28/11/2017 di SK Chepor dan dipengerusikan oleh Tn. Hj. Ismail b. Mohmed(Penyelia Kanan Sekolah Rendah Kinta Utara) dan dihadiri oleh En. Mohd Ramli b. Mohd Baki (Penyelia Sekolah Rendah), En. Kamaruddin(Unit Perhubungan PPDKU) dan lima orang Guru Besar sekolah berhampiran dan penolong-penolong kanan sekolah berkenaan. Pada masa mesyuarat ini juga, dua orang Caretaker @ Pegawai Tadbir Urus bagi SK Meru Raya telah dilantik iaitu En. Abu Bakar b. Mat Som (dari SK Kelebang Jaya) dan En. Ery Zuan b. Zulkifli(dari SK Pusing). Kedua-dua orang Caretaker ini bertanggungjawab memantau keadaan sekolah dan menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan operasi pembukaan sekolah serta menyediakan laporan perkembangan sekolah kepada pihak PPD Kinta Utara dan Jabatan Pelajaran Perak.
Lawatan prapenyerahan bangunan telah diadakan pada 29/11/2017 dan melibatkan beberapa pihak iaitu Pegawai Unit Pembangunan PPD Kinta Utara, Pegawai Unit Pembangunan JPN Perak,pihak kontraktor utama, subkontraktor dan Caretaker. Majlis serahan bangunan oleh pihak kontraktor kepada pihak JKR Kinta dan JKR Kinta kepada pihak JPN Perak telah diadakan pada 22/12/2017 di SK Meru Raya. 
Dalam pemerhatian Caretaker, biarpun bangunan telah diserahkan, namun terdapat banyak isu berkaitan pembinaan yang belum diselesaikan dan dipercayai akan mengganggu kelancaran operasi pembukaan sekolah. Beberapa isu yang dianggap pengganggu terbesar operasi pembukaan ialah masalah pam air, isu loji kumbahan,masalah bekalan elektrik, isu taman permainan Prasekolah,isu pagar padang dan masalah tempias kuat pada bahagian tangga bangunan. Sehubungan  itu, Caretaker telah menyediakan dua bentuk laporan iaitu Laporan Kesediaan Sekolah dan Laporan Kecacatan / Bangunan dan membuat serahan laporan kepada pihak PPD Kinta Utara dan JPN Perak.
SK Meru Raya dikelilingi beberapa buah taman perumahan yang memberi gambaran bahawa sekolah ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan murid-murid. Taman-taman perumahan yang berdekatan dengan lokasi SK Meru Raya ialah Taman Meru Impian,Taman Meru Damai,Lengkok Meru Permai dan Halaman Meru Permai.
SK Meru Raya juga menerima sebahagian murid dari sekolah-sekolah yang berdekatan iaitu SK Jati,  SK Seri Klebang, SK Jelapang, SK Chepor dan SK Hj. Mahmud. Hal ini kerana murid-murid tersebut tinggal di taman-taman perumahan yang disenaraikan di atas.
 
Pada 1 Februari 2018, SK Meru Raya telah menerima lantikan pentadbir iaitu Guru Besar,Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Kokurikulum.